"MAHASISWA PENDIDIK, REALISASI VARSITI"



SUNGGUH AMANAH ITU BERAT 
~SEMOGA DIRI INI TERUS THABAT DAN TIDAK SEKALI-KALI FUTUR DI PERJALANAN DAKWAH~

Nik Azrul Nik Kamarudin
Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan
Majlis Perwakilan Pelajar 
UPSI



ISLAM DULU,KINI & SELAMANYA


hadis hari ini

fikir sejenak

pengalaman mengajar kedewasaan

UPSI di hatiku

Thursday, January 28, 2010

PEMIMPIN PERLU BERKUALITI


"Pemimpin yang ingin memimpin atau dipilih perlulah berkualiti meliputi pelbagai aspek supaya mampu menghadapi pelbagai cabaran masakini yang begitu hebat dan kompleks.

KPI atau kayu pengukur yang digunakan juga perlu menepati keperluan semasa agar sentiasa relevan dan diterima semua peringkat masyarakat dalam mengharungi dunia hari ini yang bergerak tanpa sempadan.

Jikalau seorang yang ingin memimpin sms pun tak tahu guna bagaimana dia hendak berkomunikasi secara cepat dan tepat untuk bersaing dengan lawannya, belum lagi ditambah dengan seruan menguasai ICT dan sebagainya. Tentu lagi haru.

Tetapi apa yang berlaku kini kebanyakkan pemimpin itu dipilih hanya kerana bermain secara 'Play Safe' atau bijak mengampu, yes man dan sebagainya.

Ini hanya merugikan organisasi tersebut yang secara terus memperolehi pemimpin yang tak berkualiti dan secara tidak langsung menyekat peluang pemimpin yang berkualiti meningkat naik bagi membawa gaya kepimpinan yang lebih baik.

Kalau zaman persekolahan dulu ujian atau peperiksaan menjadi penanda aras kejayaan seseorang pelajar itu, maka tiada bezanya di dalam berparti terutamanya di dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia di mana pilihan raya menjadi kayu pengukurnya!"

STREAMYX COOL UNIPACK

Sedikit perkongsian maklumat yang saya dapat dari sahabat saya yang berkerja dengan streamyx di Terengganu. Tentang pakej yang ditawarkan sekarang pada mahasiswa universiti,tawaran tu hanya pada mahasiswa yang berada ditahun pertama dan kedua pengajian dengan pengesahan universiti. Antara keistimewaan yang anda dapat selain internet adalah sebuah laptop(netbook intel atom processor N450).

Wednesday, January 27, 2010

MARILAH MARI, PERGI MENGUNDI



Marilah mari, pergi mengundi,
Jangan lupa kewajipan pada UPSI.

Marilah mari, pergi mengundi,
Jangan lupa kewajipan pada UPSI.

Hari undi akan tiba, kekalkan demokrasi,
Gunakan hak kita, sebagai mahasiswa,
Fikir terlebih dulu, dengan akal bestari,
Sebelum membuang undi yang dihargai.

Marilah mari, pergi mengundi,
Jangan lupa kewajipan pada UPSI.

Marilah mari, pergi mengundi,
Jangan lupa kewajipan pada UPSI.

Jangan lupa Kad Matrik,
Serta nombor pendaftaran,
Masa tidak kerugian, membuang undi.

Bila memangkah e-voting,
Harus kita berhati-hati,
Kalau salah tak berganti,
Sesal sendiri.

Marilah mari, pergi mengundi,
Jangan lupa kewajipan pada UPSI.

Marilah mari, pergi mengundi,
Jangan lupa kewajipan pada UPSI.

P/S : JOM MAHASISWA PENDIDIK!!! GEGARKAN BUMI MU'ALLIM INI DENGAN UNDI ANDA. SATU UNDI BEGITU BERMAKNA. UNDI ANDA MENENTUKAN HALA TUJU KEPIMPINAN MAHASISWA PENDIDIK ANAK KANDUNG SULUH BUDIMAN...

VOTE FOR ME, VOTE FOR MAHASISWA PENDIDIK!!!

"MAHASISWA PENDIDIK, REALISASI VARSITI"

Warga IPTA digesa keluar mengundi




ARKIB : 26/01/2010

Warga IPTA digesa keluar mengundi

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Para mahasiswa di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) digesa menunaikan tanggungjawab dengan keluar mengundi pada pilihan raya kampus masing-masing.


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dihubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, inilah masanya untuk warga IPTA berperanan memilih pemimpin mahasiswa sebelum melakukannya pada pilihan raya umum.


Beliau diminta mengulas mengenai pemilihan barisan pemimpin bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2009/2010 yang diadakan sejak minggu lalu dan bakal berakhir pada 28 Januari ini.


Mohamed Khaled berkata, pilihan raya kampus dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa sebagai calon pemimpin masa depan serta mengenal realiti pilihan raya yang sebenar.


Setakat ini empat IPTA telah melaksanakan pemilihan iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 17 Januari lalu sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 21 Januari.


Pemilihan MPP bagi Universiti Putra Malaysia (UPM) pula akan dilakukan pada 26 Januari ini.


Sementara itu, mahasiswa di tujuh universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 28 Januari ini.


(sumber : Utusan Malaysia Online)

Tuesday, January 26, 2010

MENGUNDI TANGGUNGJAWAB MAHASISWA

Bergelar seorang mahasiswa, apatah lagi sebagai mahasiswa pendidik di UPSI ini merupakan suatu tapak atau 'platform' terbaik untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi alam pekerjaan serta realiti dunia luar nanti.

PERANAN MAHASISWA
Mahasiswa bukan lagi pelajar sekolah, yang tugasnya hanya belajar untuk menghadapi peperiksaan besar seperti UPSR, PMR & SPM. Sistem peperiksaan di menara gading juga jauh bezanya berbanding di sekolah. Mahasiswa harus berhadapan ujian akhir di setiap akhir semester setelah berkuliah serta bebanan 'assignment' yang turut menyumbangkan markah.

Peranan sebagai mahasiswa bukan sekadar belajar, tetapi peluang memegang 'title' mahasiswa seharusnya digunakan sepenuhnya untuk mengutip pelbagai ilmu bukan akademik seperti kepimpinan, berorganisasi, berprogram yang boleh diperoleh samada secara langsung atau tidak langsung.



Apabila tibanya musim pilihanraya kampus (PRK), perlu menyatakan pendirian masing-masing dengan menunaikan hak sebagai pengundi. Sesi PRK kali ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh mahasiswa pendidik untuk memilih pemimpin yang sebetulnya layak, berketrampilan dan berani untuk memperjuangkan kebajikan mahasiswa.


DIMENSI BARU MPP

Pemimpin tertinggi mahasiswa di peringkat kampus atau nama rasminya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) seharusnya tediri daripada insan yang berkarisma dan berpengalaman dalam ilmu kepimpinan dan organisasi. MPP bukan sekadar hanya tahu bergaya dengan ber'blazer' dan berpakaian batik yang hanya sebagai penyeri suasana sahaja, bukan yang hanya tahu menganjurkan minggu suai kenal mahupun pesta konvokesyen; bukan juga yang hanya tahu ke luar negara atas dasar lawatan sambil belajar atau sebagainya lagi. Bahkan, tugas MPP adalah lebih daripada itu. Selain sebagai pejuang kebajikan mahasiswa, MPP juga adalah duta kepada universiti. MPP seharusnya berani memperjuangkan isu-isu peringkat nasional, bukan sekadar yang berlaku di peringkat kampus. MPP perlu berani bersuara dalam menyatakan pendapat samada melalui penulisan dan lain-lain lagi. Isu-isu yang dimainkan biarlah cukup serius serta bersifat global.

Oleh yang demikian, kesempatan dan peluang yang ada untuk mengundi ini perlu digunakan sebaiknya. Ayuh mahasiswa pendidik! Ayuh turun mengundi! Tunaikan hak anda. Pilihlah pemimpin yang benar-benar layak dan bersahsiah tinggi; jangan sekadar memandang paras rupa seseorang calon itu. Berkredibiliti dan berkarisma perlualah ada pada calon yang ingin anda undi. Jangan salah pilih agar tidak menyesal jika timbul pelbagai masalah dan pengabaian tugas apabila kabinet baru MPP dibentuk nanti.

Sekian, salam perjuangan buat mahasiwa pendidik!!!

"MAHASISWA PENDIDIK, REALISASI VARSITI"

Monday, January 25, 2010

PRK : SEKRETARIAT PEMILIHAN MPP PERLU LEBIH TELUS

Demam pilihanraya kampus (PRK) akhirnya melanda bumi Ibu Kandung Suluh Budiman ini. Alhamdulillah, saya akhirnya terpilih untuk menjadi calon bagi kerusi umum pada PRK kali ini. Bertanding sebagai calon umum sudah tentu menjanjikan seribu satu cabaran dan halangan yang perlu ditempuh. Segalanya bakal tercatit dalam diari kehidupan seorang mahasiswa pendidik di bumi bertuah UPSI ini.

SOKONGAN & KRITIKAN : KAWAN MAHUPUN LAWAN

Sudah tentu setinggi-tinggi penghargaan buat sahabat-sahabat seperjuangan yang sanggup mengorbankan masa dan mengerah tenaga untuk sama-sama membantu sepanjang sesi pemilihan kali ini yang masih lagi berlangsung sehinggalah tarikh pengundian nanti. Juga terima kasih buat calon-calon lain yang begitu bersemangat berkempen untuk meraih undi bersama-sama 'team' masing-masing.

KEHILANGAN POSTER

Pagi ini, saya diberitakan oleh wakil calon tentang kehilangan poster kempen saya di ruang legar serta sekitar bangunan Fakulti Seni dan Muzik. Dalam hal ini, tujuan saya bukanlah untuk menuduh mana-mana pihak, tetapi apa yang mahu dibangkitkan di sini ialah perkara sebegini sedikit sebanyak menunjukkan lagi kepincangan dalam pengurusan sesi pemilihan MPP kali ini. Ketelusan Sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar di bawah kendalian pihak HEP ini boleh dipersoal. Wujud unsur berat sebelah yang jelas terbukti. Sekretariat ini sangat cepat untuk bertindak menghubungi calon-calon tertentu untuk memberi amaran kerana pelbagai kesalahan seperti meletakkan poster yang menghalang poster calon lain, meletakkan poster dua calon berbeza pada tali yang berlainan serta banyak lagi. Sedangkan pada masa yang sama, ada juga calon di pihak yang lain, turut melakukan kesalahan yang sama tidak pula diberi amaran sedemikian. Terdapat unsur 'bias' di sini yang jelas memberi kelebihan kepada calon-calon tertentu sahaja.


ADIL & TELUS

Saya menulis bukanlah kerana melatah akibat kehilangan poster tadi namun, sebagai calon, saya berhak untuk menuntut pihak sekretariat pemilihan agar lebih telus dan adil dalam mengendalikan PRK kali ini. mahasiswa seharusnya didedahkan kepada kejernihan sistem demokrasi di kampus, bukannya terdedah kepada politik kotor yang boleh menghapus keintelektualan mahasiswa seterusnya memberi impak negatif kepada universiti yang tercinta ini.

PEMANTAUAN BERKESAN

Pantauan yang lebih efektif perlu dilakukan dari masa ke samasa oleh sekretariat pemilihan bagi menjamin keharmonian dan keadilan dalam kempen kali ini. Laporan yang diberikan perlulah diteliti terlebih dahulu agar tidak timbul isu condong kepada mana-mana pihak. Ini sangat penting agar kepercayaan yang diberikan mahasiswa pendidik serta warga universiti yang lain kepada sekretariat ini tidak terhakis akibat tindakan yang tidak relevan serta berat sebelah.

Ayuh mahasiswa pendidik! Anda berhak menuntut PRK yang lebih adil dan telus. Guna minda, akal juga hati dalam menilai sejauh mana kehalusan pengendalian PRK kali ini. Buat sekretariat, masih ada waktu untuk membaiki kepincangan yang ada. Jangan sampai ianya dibentang dan dituntut oleh yang berhak di hari pembalasan kelak. Kerana saya tahu, semuanya beragama Islam. Yang hak, tetap hak! Yang salah, tetap salah!

"MAHASISWA PENDIDIK, REALISASI VARSITI"

Sunday, January 24, 2010

KEPIMPINAN : ANTARA KUASA DAN PENGARUH

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera…

Sengaja untuk saya mengambil salah satu tajuk ‘post’ dari blogger terkenal Abu Saif di ruang blognya saifulislam.com. Namun, izinkan untuk saya mengulas dari perspektif sebagai seorang mahasiswa yang memegang status sebagai pemimpin pelajar di universiti ini. Pengalaman sebagai mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Sains UPSI, sedikit sebanyak membawa saya kepada realiti sebagai pemimpin.

Benar, memimpin berkait rapat dengan kuasa dan pengaruh. Bagaimana kuasa dan pengaruh kepimpinan itu bisa mencorak sesebuah organisasi yang dinaungi. Walaubagaimanapun, sejauh mana beza antara pengaruh dan kuasa memberi impak dalam menentukan jatuh bangun sesebuah organisasi atau sekelompok masyarakat yang dimpipin itu.

“Kepimpinan yang paling lemah, adalah kepimpinan yang bergantung kepada jawatan dan kuasa”. Saya begitu tertarik dengan ayat yang diolah oleh Ustaz Abu Saif ini. Realitinya memang benar-benar berlaku. Berapa banyak organisasi menjadi lemah serta berpecah belah bila mana seseorang ketua itu memimpin atas dasar semata-mata kerana memegang jawatan tertinggi dalam organisasi tersebut. Namun, pemimpin itu kecundang dalam mewujudkan sebuah pasukan yang bersatu padu dan turut gagal dalam perancangan serta gerak kerja.

Memimpin dengan Pengaruh

Pengaruh sangat memainkan peranan yang penting dalam aspek kepimpinan. Ayuh kita ambil contoh pempimpin teragung kita, Rasulullah SAW. Bagaimana besarnya pengaruh baginda SAW dari sudut akhlak yang membawa kepada keberkesanan dakwah seterusnya menjadi titik tolak kepada kejayaan dalam menubuhkan Negara Islam pertama di dunia iaitu di Madinah.

Baginda diutus sebagai pembimbing seluruh umat manusia sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam Surah Al-Anbiyaa' ayat 107 yang tafsirnya :

"Dan tidaklah Kami (Allah) mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam semesta."

Sungguh pengaruh merupakan antara faktor terpenting dalam kepimpinan. Kembali kepada kempimpinan di dunia kampus, mahasiswa seharusnya tahu menilai pemimpin yang berpengaruh atau hanya sekadar mengharapkan kuasa yang ada. Pengaruh mampu membawa orang sekeliling untuk sama-sama merasai acuan kempimpinan pemimpin itu, pahit mahupun manis; segalanya dialalui bersama-sama. Pemimpin yang berasaskan kuasa semata-mata hanya mampu mengharapkan kuasa atau jawatan yang ada, bahkan juga kelebihan itu dijadikan batu loncatan untuk mendapatkan sesuatu yang menguntungkan diri sendiri serta puak-puak yang berkepentingan.

Mewujudkan Pemimpin Berkualiti

Kepimpinan dalam konteks masa kini menuntut kebijaksanaan serta daya upaya yang dinamik untuk mencari formula kepada penyelesaian permasalahan umat yang semakin dihimpit cabaran globalisasi.

Berkata Hasan Basri: "Pimpin dan kendalikan jiwa dengan baik, kerana amat liarnya, dan beri ingatlah, kerana dia lekas lupa."

Mendidik pemimpin yang berkualiti dan beristiqamah (konsisten) dengan misi dan visi bukanlah tugas yang mudah dan tidak terletak di bahu sesetengah pihak sahaja. Ia menuntut banyak proses pembelajaran dan pengalaman. Ini kerana keterampilan dan kewibawaan pemimpin amat penting dalam menempatkan diri di kalangan kepimpinan. Selain mempunyai asas keilmuan yang baik, kredibiliti seorang pemimpin juga diukur sama ada memiliki akhlak contoh dan peribadi mulia. Pemimpin yang mempunyai asas ilmu yang baik dan peribadi yang mulia akan melahirkan pengikut yang bijak serta matang menghadapi isu-isu yang timbul. Itulah pengaruh!!!

P/S :- Anda boleh berbalas hujah dengan pendebat dan pemidato, tetapi tiada siapa yang mampu menewaskan akhlaq dan pengaruh.

Saturday, January 23, 2010

100,000 pelajar ditawar pakej netbook TM

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Inisiatif kerajaan untuk membolehkan pelajar universiti memiliki netbook sendiri dengan perkhidmatan jalur lebar percuma sememangnya ditunggu-tunggu oleh pelajar dan pensyarah.

Pakej daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) itu yang akan diperkenalkan tahun ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2010 pada Oktober tahun lepas.

Buat permulaan, TM akan menawarkan pakej netbook termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma kepada 100,000 pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun. Pelajar tahun pertama dan daripada keluarga berpendapatan rendah akan diutamakan.

"TM akan membuat pengumuman mengenai penawaran pakej ini bersama butirannya tidak lama lagi," kata Naib Presiden Produk Runcit TM, Aziz A. Hadi.

Katanya, selain menyumbang ke arah meningkatkan kadar penembusan jalur lebar ke arah memanfaatkan ICT sebagai penggerak masyarakat berpengetahuan, pakej komputer itu juga akan menyokong langkah kerajaan bagi meningkatkan kemahiran modal insan.

Pada tahun 2008, terdapat 400,949 penuntut tempatan yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan 399,852 di institusi pengajian tinggi swasta di negara ini.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd. Ridzuan Mohammad pula menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai tepat bagi membantu pelajar mengakses maklumat dengan cepat.

"Ianya memudahkan pelajar mencari rujukan dan juga untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini sama ada isu semasa dan juga apa sahaja yang dibuat oleh peringkat dunia dan juga dalam negara kita.

"Cuma yang saya harapkan adalah ruang yang diberikan oleh kerajaan ini akan dapat sambutan baik oleh pelajar dan mereka akan gunakannya untuk perkara yang positif, dengan erti kata lain mereka tidaklah menyalahgunakan dan sebagainya," katanya.

Hanapi Azizul, 23, penuntut sarjana pengurusan dan pentadbiran di Universiti Teknologi Malaysia, berkata, inisiatif itu akan membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Kalau nak beli broadband dengan netbook itu sendiri mungkin tak mampu, biasiswa yang dapat pun kadang-kadang tak cukup, dengan adanya perkara seperti ini sedikit sebanyak membantu kami.

"Contohnya duit biasiswa, pinjaman atau duit yang diberikan oleh ibu bapa bolehlah kami jimatkan dan simpan. Manalah tahu kalau ada perkara penting nanti nak dibuat seperti praktikal di luar, masa itulah pelajar banyak nak guna duit," katanya Hanapi.

Beberapa pensyarah universiti yang ditemu bual menyokong usaha kerajaan tersebut kerana mereka berpendapat kemudahan komputer dan jalur lebar merupakan satu keperluan dalam dunia sekarang.

Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Che Ibrahim Salleh berkata dengan adanya pembayaran secara ansuran itu, pelajar dapat merasai komitmen untuk mendapatkan pakej tersebut.

Timbalan Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Abdul Mua"ati @ Zamri Ahmad berkata, bayaran itu sangat berpatutan.

"Kalau kerajaan bagi free sahaja pun tak dihargai, kita tengok macam bantuan buku teks di sekolah-sekolahkan banyak yang tak dijaga, koyak, diconteng dan sebagainya. Itu sebab free.

"Tapi bila kena bayar RM50 sahaja bukan hanya pelajar mampu tetapi akan timbul rasa sayang dia kepada alat itu. Dan alat itu boleh digunakan untuk pembelajaran dia, jadi saya rasa langkah itu sesuatu yang bagus," katanya.

Ketua Jabatan Komunikasi Kolej Universiti Islam Selangor, Nur Aina Nabila Dundai Abdullah, berkata, pelajar memang memerlukan kemudahan tersebut untuk menjadi lebih berdaya saing dengan pelajar negara luar.

"Memang cukup baguslah, biasanya pelajar pergi kafe siber sahaja...terlalu terhad masa yang digunakan untuk dapatkan maklumat, tapi dengan adanya kemudahan seperti ini sudah tentu ke mana sahaja mereka pergi mereka dapat akses Internet," katanya. - BERNAMA

Tuesday, January 5, 2010

Menghina orang lain seperti caci diri sendiri

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat." (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Melakukan perbuatan seperti memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh kemampuan orang lain, memanggil orang lain dengan gelaran yang tidak baik, memalukan orang, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan kepada orang lain dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.

Sesiapa yang mencaci orang lain dengan perkataan-perkataan yang buruk seumpama dia mencaci dirinya sendiri.

Sebaik-baiknya sebagai umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong tanpa mengira agama dan keturunan orang yang ingin dibantu.

Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan itu sekalipun seseorang yang dicela memang melakukan dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu sudah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah.

Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.
Related Posts with Thumbnails