"MAHASISWA PENDIDIK, REALISASI VARSITI"



SUNGGUH AMANAH ITU BERAT 
~SEMOGA DIRI INI TERUS THABAT DAN TIDAK SEKALI-KALI FUTUR DI PERJALANAN DAKWAH~

Nik Azrul Nik Kamarudin
Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan
Majlis Perwakilan Pelajar 
UPSI



ISLAM DULU,KINI & SELAMANYA


hadis hari ini

fikir sejenak

pengalaman mengajar kedewasaan

UPSI di hatiku

Sunday, May 23, 2010

PERUBATAN HERBA

Ilmuwan Islam: Ibnu al-Baitar perintis perubatan herba RATUSAN bahkan ribuan jenis herba kita miliki hari ini. Sebagai ubat alternatif, herba mempunyai banyak manfaatnya. Ibnu al-Baitar (w. 1248) sebagai ilmuwan perubatan Islam terkemudian sudah mengumpulkan 1,400 jenis tumbuh-tumbuhan yang dikategorikan sebagai herba dalam bukunya, Kitab al-Jami’ fi al-Adwiyah al-Mufradah (Buku Kumpulan Ubat-Ubatan). Siapa perintisnya dalam sejarah Islam? Itulah al-Asma’i yang hidup pada zaman khalifah Harun al-Rasyid daripada Khalifah Abbasiyah, yakni lebih daripada 400 tahun sebelumnya. Nama sebenar al-Asma’i ialah Abdul Malik ibn al-Quraib yang lebih dikenali dengan Abu Said al-Asma’i. Beliau lahir di Basrah pada 122 Hijrah/740 Masihi dan meninggal dunia di kota sama pada 216 Hijrah/831 Masihi.

Ilmu tumbuh-tumbuhan yang salah satu kajiannya mengenai perubatan herba ditakrifkan dalam kitab Madinah al-’Ulum sebagai ilmu yang mengkaji keutamaan jenis tumbuh-tumbuhan, keajaiban, bentuk, manfaat, dan mudaratnya. Di samping itu ia juga mengkaji cara penggunaannya untuk perubatan.

Tarikan pada tumbuh-tumbuhan tidak hanya melahirkan ahli perubatan herba, namun juga melahirkan perkembangan menakjubkan di bidang pertanian. Termasuk, teknik baru dalam mengembangkan tanaman, bahkan pembangunan bendungan dan pengairan. Daripada pelbagai kajian yang dilakukan ilmuwan Muslim soal tanaman ini, kemudian lahirlah ilmu mengenai perubatan herba. Dalam banyak karya penulisan Islam pada abad pertengahan, kehidupan tumbuh-tumbuhan erat kaitannya dengan ilmu perubatan dan agronomi. Bahkan kemudian, filolog Muslim menggambarkan tanaman secara sistematik. Bermacam macam jenis tumbuhan digolongkan menurut jenisnya. Ada tanaman masuk dalam golongan pohon, bunga, sayur-sayuran, dan semak belukar. Pohon juga dibahagikan menurut kualiti yang dapat dimakan dari kulit dan biji buah-buahan pohon itu. Al-Asma’i menuliskan kajian mengenai tumbuh-tumbuhan ini dalam bukunya yang bertajuk Kitab al-Nabat wa al-Shajar (Buku Tumbuh-tumbuhan dan Pohon). Dalam buku hasil kajian dan penyelidikannya itu dibahas pada pengantarnya huraian mengenai pelbagai pendapat sekitar dunia tumbuh-tumbuhan.
Pertama, beliau menjelaskan mengenai pelbagai jenis tanah berserta sifat yang menunjukkan kesesuaiannya bagi penanaman dan pengembangan tumbuh-tumbuhan. Kemudian beliau menghuraikan pelbagai hal mengenai pepohonan termasuk di dalamnya huraian mengenai tahap-tahap pertumbuhannya. Beliau juga membahagikan jenis-jenis tanaman dan menunjukkan contoh dari setiap jenis. Akhirnya, beliau menggambarkan pelbagai jenis tumbuhan yang hidup di dataran dan padang pasir. Secara keseluruhannya, dalam buku ini, al-Asma’i menjelaskan 230 jenis tumbuh-tumbuhan. Buku ini disunting oleh A Haffner dan Louis Syeicho dan diterbitkan pada 1908 di Beirut. Kemudian disunting semula dan dikaji oleh Dr Abdullah Yusuf al-Ghunaim pada tahun 1947 di Kaherah.
Jika di sebelah timur wilayah Islam iaitu Andalusia pada zaman keemasan Islam ada seorang ahli herba terkenal bernama Ibnu Juljul, Abu Da’ud Sulayman bin Hassan, yang menulis berbagai-bagai macam tumbuhan yang penting bagi ubat-ubatan dalam buku Maqalah termasuk sifat tumbuh-tumbuhan berkenaan. Kemudian, beliau juga menuliskan kesan dari penggunaan tumbuh-tumbuhan itu bagi organ tubuh tertentu. Tumbuh-tumbuhan untuk herba yang ditulisnya sebanyak 28 jenis berasal dari India atau yang perjalanannya melalui jalan perdagangan India, dua dari Yaman, dua dari Mesir, satu dari Ceylan, satu dari Khwarizm, dan dua dari kota yang dekat dengan Kordoba. Dalam bukunya itu, Ibnu Juljul kadang-kadang menuliskan nama orang yang pertama kali menggunakan tumbuhan berkenaan untuk perubatan atau orang yang menceritakan fungsi dan kesan penggunaan tumbuhan pada tubuh manusia.

Saturday, May 1, 2010

Keunikan Sel Apoptosis: Kematian Terancang Sel

Apoptosis: Kematian Terancang Sel


 

Oleh : Samhani Ismail

 

Semasa kita baru dilahirkan ke dunia, sel-sel  badan kita tumbuh dengan begitu cepat tanpa  berhenti walaupun sesaat.  Sel-sel membahagi dan terus membahagi  lalu menjalin sesama sendiri membentuk struktur tangan, kaki, organ dan keseluruhan tubuh.

Sehingga umur terus meningkat,  sel berterusan berkembang. Namun, perkembangan sel ini bukan tanpa arah tujuan,  kerana sel membahagi mengikut perancangan dan arahan daripada Tuhan yang menciptanya.

Akhirnya, sel-sel ini mati apabila tiba masa yang memerlukan ia mati.  Sel boleh mati melalui dua cara, samada dicederakan oleh agen luar (secara nekrosis) ataupun diaruh untuk memusnahkan diri sendiri melalui pembunuhan terancang sel (apoptosis).

Umpama dedaunan yang berguguran pada musim luruh, begitulah juga halnya dengan sel-sel pada tubuh kita yang luruh akibat kematian terancang (apoptosis) ini. Semasa anda sedang membaca makalah inipun, berjuta-juta sel di dalam tubuh anda sedang mengalami saat kematiannya. Walaupun bilangan sel dalam tubuh kita berjuta, namun kita tidak perlu menjadi  raksasa kerana saiznya yang begitu halus dan tersusun kemas serta mengalami kitaran kematian yang menakjubkan.

Kematian terancang atau juga dinamai sebagai apoptosis merupakan satu mekanisma biologi bagi mengekalkan tubuh kita dalam keadaan baik.

Apoptosis  umumnya berlangsung seumur hidup kita. Walaupun kematian seringkali dikaitkan dengan persepsi  negatif, namun kematian terancang ini sangat penting bagi tubuh. Umpama kita melihat sebuah pohon tua yang mati. Namun kematian pohon tua inilah yang memungkinkan tumbuhnya anak-anak pokok yang baru dan segar, berbekalkan  reputan daunnya yang menjadi baja. Begitulah hikmah sebuah kematian yang wajib dilalui bagi setiap makhluk.

 

Kepentingan dan kenapa berlakunya apoptosis

Di dalam perut ibu, apoptosislah menjadi sebab mengapa jari jemari kita terpisah di antara satu sama lain.  Apoptosis yang berlaku pada sel-sel di celah-celah jari meyebabkan sel-sel tersebut mati dan luruh, lalu jari-jari kita menjadi terpisah-pisah, tidak seperti jari itik, atau ayam yang dicantum oleh beberapa lapis sel yang masih kekal.

Ketika dalam tahap larva dalam kitaran hidup, seekor berudu bernafas melalui insang dalaman atau luaran badannya. Berudu tiada kaki atau organ persenyawaan sehingga usianya meningkat. Berudu mempunyaiekor bersirip yang digunakan untuk berenang melalui alunan sisian, serupa dengan kebanyakan ikan. Sambil membesar, berudu bermetamorfosis dengan menumbuhkan kaki secara perlahan, kemudian berudu itu berkembang. Ekornya memendek akibat proses apoptosis. Paru-paru turut berkembang lebih kurang serentak dengan perkembangan katak, dan pada peringkat lanjut berudu akan berenang ke permukaan air untuk menafaskan udara. Pada peringkat akhir metamorfosis luaran, mulut berudu perlu bertukar dari bentuk bulat yang kecil di hadapan kepala, menjadi mulut besar yang sama lebarnya dengan kepala. Ususnya turut mengecut untuk menampung pemakanan maging seekor katak.

Perubahan-perubahan pada berudu untuk menjadi katak ini sebenarnya diikuti oleh apoptosis sel-sel supaya bentuk yang dirancangkan bakal diperoleh.

Apoptosis juga perlu bagi sel-sel  yang mengalami kerosakan pada DNA (asid dioksiribonukleik).  Kerosakan pada DNA  sel ini boleh mengakibatkan perkembangan embrio yang cacat atau mungkin boleh membentuk sel kanser. Sebagai respons kepada kerosakan tersebut, sel menghasilkan lebih banyak p53, sejenis protein yang mengaruh apoptosis bagi membuang sel yang rosak tadi.

 

Proses dan peringkat-peringkat apoptosis

Dari sudut molekular, apoptosis terbahagi kepada tiga peringkat iaitu peringkat permulaan, peringkat kesan dan peringkat degradasi. Banyak aktiviti berlaku semasa proses apoptosis dijalankan dan banyak gen-gen terlibat, misalnya gen Bcl-2 dan Bax, protein-protein caspase-3caspase-8caspase-9 dan lain-lain lagi.

Dari sudut mekanisma pula, sel mengambil keputusan melakukan apoptosis apabila terdapat dua faktor pencetus, iaitu isyarat dalaman dan isyarat luaran.

Dalam sel yang sihat, membran luar mitokondrianya mengekspres protein Bcl-2 pada permukaannya. Bcl-2 bergabung dengan protein Apaf-1. Namun, apabila sel mengalami kerosakan, Bcl-2 membebaskan Apaf-1 dan sitokrom c keluar dari mitokondria. Apaf-1 dan sitokrom c akan bergabung dengan caspase-9 dan membentuk kompleks apoptosom yang akan berkumpul dalam sitosol. Caspase-9 yang merupakan enzim protease akan mengaktifkan caspase-caspase lain. Pengaktifan berturutan ini meningkatkan aktiviti proteolisis yang mencerna protein di dalam sitoplasma serta mengurai kromosom DNA. Keadaan ini berakhir dengan kematian sel.

Bagi isyarat luaran pula, Fas dan reseptor TNF (faktor nekrosis tumor) merupakan protein membran pada reseptor permukaan sel. Pergabungan FasL dan TNF masing-masing kepada reseptor-reseptor tersebut memindahkan isyarat kepada sitoplasma yang seterusnya mengaktifkan caspase- 8. Caspase-8 juga mengaktifkan caspase-caspase lain secara berturutan dan seterusnya menyebabkan kematian sel.

Ada saintis yang mengistilahkan apoptosis sebagai proses di mana sel membunuh dirinya sendiri. Namun Islam menyangkal dakwaan ini lantaran kematian itu ditentukan oleh Allah dengan pengantaraan malaikat maut, dan haram bagi makhluk ciptaan Allah untuk membunuh dirinya sendiri kerana nyawa bukanlah miliknya, melainkan dipinjam sementara daripada Allah.

Walaupun proses apoptosis kelihatan begitu terancang dan ia berbeza dengan satu lagi jenis kematian mengejut iaitu nekrosis. Nekrosis sel berlaku di mana sel-sel musnah akibat kecederaan mekanikal atau akibat pendedahan kepada bahan toksik yang menyebabkan sel-sel membengkak dan menjadi radang, lalu mati.

Kematian secara apoptosis berlaku dengan teratur sekali. Sel-sel mula mengecut, mitokondria pecah lalu melepaskan sitokrom c dan membran sel bergerak membentuk seperti gelembung pada permukaannya (‘blebbing’). Kromatin (DNA dan protein) dalam nukleus mula terurai dan sel membentuk sel-sel kecil yang masih mempunyai membran, dinamai sebagai apoptosom. Apoptosom-apoptosom ini seterusnya difagositosis (ditelan) oleh sel-sel fagosit seperti sel dendritik dan makrofaj daripada sistem imuniti tubuh. Seterusnya, sel fagosit membebaskan sitokin bagi merencat keradangan dan akhirnya sel mati tanpa radang mahupun kesakitan sehingga kita tidak sedar bahawa di dalam tubuh kita, beribu-ribu sel sedang mati. Berbeza dengan nekrosis, ia menyebabkan berlakunya radang pada sel.

 

Kesan-kesan apoptosis

Apoptosis memainkan peranan penting dalam kitaran biologi seperti morfogenesishomeostasis tisu, menghapuskan sel rosak, membuang sel yang dijangkiti virus serta mematikan sel yang boleh merangsang tindak balas imunisasi (ketahanan) tubuh.

Bukan sahaja sel-sel badan mati, bahkan sel neuron di otak juga mengalami apoptosis sehingga sering dikaitkan dengan penyakit-penyakit kemerosotan otak dan dan masalah nyanyuk. Mengapa sel neuron perlu dimatikan? Pertamanya, sekiranya sebuah sel neuron atau DNAnya rosak akibat diserang virus atau toksin, apoptosis terus bertindak dan melupuskan sel-sel rosak. Yang lebih penting adalah apoptosis merupakan sebahagian daripada perkembangan alami sistem saraf pusat di mana pada awal kelahiran, begitu banyak sel-sel neuron yang tumbuh. Ia berlebihan sehingga sebahagiannya perlu disingkirkan.

Sel-sel neuron bersaing antara satu sama lain sehingga hanya yang benar-benar terpilih boleh hidup. Sepanjang proses pematangan otak, 50 peratus sel neuron mati. Apoptosis menyingkirkan neuron-neuron yang tidak diperlukan supaya keadaan otak tidak terlalu padat dengan neuron-neuron yang tidak perlu.

Namun jawapan ini masih belum melegakan hati sehingga pada waktu sekarang, penyelidikan demi penyelidikan terhadap fenomena apoptosis masih giat dijalankan. Adakalanya apoptosis mendatangkan masalah kepada kesihatan otak manusia. Apakah sebabnya? Itu masih belum jelas.

Kerana apoptosis yang tercetus bukan pada masanya mengakibatkan penyakit-penyakit seperti AIDS, kanser, penyakit autoimun, dan jangkitan virus. Dalam kajian ultrastruktur terhadap pesakit kemerosotan otak seperti Parkinson dan Alzheimer, pakar-pakar mendapati sel neuron mati secara apoptosis. Ujian morfologi pada sel-sel neuron yang mati menunjukkan neuron-neuron mengecut, kromatin memendek dan mitokondrianya turut mengecut. Tanda-tanda ini menguatkan kepercayaan saintis bahawa sel-sel neuron pesakit-pesakit ini telah mengalami apoptsis. Subhanallah..

 

Rencana ini tersiar di Dewan Kosmik April 2010, dan saya ambil dari MajalahSains.Com

p/sPenulis merupakan seorang Tutor di Universiti Darul Iman, (UDM) Terengganu yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Neurogenetik di Jabatan Neurosains  Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Related Posts with Thumbnails