"MAHASISWA PENDIDIK, REALISASI VARSITI"



SUNGGUH AMANAH ITU BERAT 
~SEMOGA DIRI INI TERUS THABAT DAN TIDAK SEKALI-KALI FUTUR DI PERJALANAN DAKWAH~

Nik Azrul Nik Kamarudin
Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan
Majlis Perwakilan Pelajar 
UPSI



ISLAM DULU,KINI & SELAMANYA


hadis hari ini

fikir sejenak

pengalaman mengajar kedewasaan

UPSI di hatiku

Thursday, January 15, 2009

KE ARAH KECEMERLANGAN KEPIMPINAN MAHASISWA ISLAM

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-3, secara literalnya mendifinisikan kecemerlangan sebagai suatu aras pencapaian khidmat, kualiti pengeluaran dan sebagainya yang mencecah piawaian tertentu; samada kepuasan pelanggan, pengikut, orang ramai, rakan sekerja, mahupun majikan. Kecemerlangan selalunya dihubungkaitkan dengan nilai-nilai atau traits keperibadian tertentu, atau mutu perlaksanaan sesuatu kerja tertentu yang terbaik dan memuaskan Allah atau manusia pada masa yang tertentu. Pendekatan ini meliputi aspek sejumlah cirri-ciri keunggulan yang mampu diperolehi dan dimiliki oleh seseorang, organisasi dan kumpulan.

Setiap orang ingin memiliki sesuatu yang dapat dibanggakan. Mereka ingin menjadi role-model dalam serba-serbi. Manusia memang makhluk yang ingin mencapai self-actualization (membuktikan kewujudan diri). Antara impian yang diidam-idamkankan oleh setiap yang bergelar manusia ialah mempunyai keperibadian yang terbaik, terpuji akhlak dan sahsiahnya dan mempunyai segala kesempurnaan. Hal ini berkait rapat dengan huraian Teory of basic need yang dihuraikan oleh Maslow berkenaan dengan keperluan asas manusia. Sesungguhnya manusia akan disegani lantaran peribadinya yang mulia dan cemerlang dari segenap aspek penilaian.

Setelah kita ditaklifkan sebagai seorang mahasiswa, segalanya akan berubah mengikut keperluan masing-masing. Namun demikian, Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Ahzab,ayat 21 dimana "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah". Sebagai seorang mahasiswa yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT, kita dituntut untuk menjadikan diri kita sebaik mungkin dengan segala tindak tanduk kita berteras dan berlandaskan hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kecemerlangan, jika dihubungkaitkan dengan kepimpinan mahasiswa, ia bermakna wujudnya beberapa figure pemimpin dan kualiti kepimpinan organisasi mahasiswa yang mampu mencapai serta memenuhi piawai atau standard yang terbaik dan memuaskan para pengikut atau malah umat yang menyaksikan agenda bertindak dan operasi organisasi yang berkenaan.
Sebenarnya ada beberapa faktor yang menentukan kecemerlangan kepimpinan mahasiswa islam. Antara faktor- faktor tersebut ialah :

1. Dasar perjuangan yang diredhai Allah

Dasar perjuangan mahasiswa mestilah berlandaskan nilai-nilai Islam. Mahasiswa sebagai kumpulan manusia berilmu dan sentiasa mencari ilmu perlu mendampingkan keilmuan mereka dengan iman dan taqwa kepada Allah SWT, Islam dan ihsan. Mereka perlu konsisten memperjuangkan Islam serta mendukung kepimpinan Islam yang menyanjung kepimpinan para pewaris nabi atau para alim 'ulama'. Sebagaimana Firman Allah dalam surah Al-Anfal, ayat 27 yang berbunyi : "Hai orang-orang yang beriman; janganlah kamu mengkhianati Allah, Rasul dan apa yang telah diamanahkan kepada kamu; padahal kamu mengetahuinya".

2. Figure kepimpinan yang berketrampilan

Kepimpinan yang terlatih dan berpengalaman dalam menghadapi politik kampus sudah pasti akan lebih berjaya dari kepimpinan yang mentah dan kurang berpengalaman. Lebih jauh kepimpinan yang mempunyai berbagai kemahiran sudah pasti akan menempa kejayaan yang lebih cemerlang. Kepimpinan mahasiswa hendaklah mempunyai ketrampilan didalam menggarapi aspek wawasan politik yang jelas dan cekal dimana kepimpinan di kampus adalah anak tangga untuk kepimpinan di peringkat yang lebih tinggi. Wawasan politik yang benar seharusnya telah ditemui dan diyakini dari peringkat kampus lagi sehingga ianya semakin kukuh dan bercambah di peringkat nasional dan antarabangsa. Sekiranya perkara ini masih kabur dan tidak mantap di peringkat mahasiswa lagi maka kelewatan menemui wawasan politik Islam yang sebenar merupakan titik tolak kelemahan yang ketara. Pimpinan mahasiswa Islam yang baik ialah yang mempunyai ciri-ciri ketaqwaan seperti yang diperincikan oleh AI-Qur'an.

3. Taufiq dan inayah Allah

Seandainya segala prasyarat untuk maju dan cemerlang telah dimiliki maka suatu faktor yang tidak boleh tidak mesti diperolehi oleh saff kepimpinan mahasiswa Islam ialah taufik dan inayah llahi. Barakah dan limpah kurnia Allah perlu ditagih, dirintih dengan amalan-amalan ibadah, do'a, zikir dan munajat. Hanya dengan limpahan kurnia Allah, keampunan dan restu-Nya , kecemerlangan duniawi akan mempunyai makna yang lebih diyakini. Sebab itu, organisasi mahasiswa Islam semestinya tidak lekang dengan program Qiamullaill, khemah ibadah, halaqah zikir dan lain-lain. Sesungguhnya mahasiswa yang sentiasa bertaqqarub kepada Allah akan mendapat keredhaan daripada Allah setiap saat hidupnya.

Kesemua nilai-nilai di atas jika diadun dan diuli dengan akmal akan menghasilkan kecemerlangan. Apatah lagi dalam persaingan masyarakat yang serba rencam ini kualiti dan kecemerlangan mahasiswa tidak lagi merupakan satu pilihan, tetapi sudah menjadi syarat mutlak untuk survival atau meneruskan kelangsungan perjuangan. Mahasiswa tidak bergerak dalam ruang yang kosong. Mereka dilingkari oleh persekitaran yang mempengaruhi sikap, minat dan peribadi tiap-tiap individu. Justeru itu budaya gerak-kerja mahasiswa harus didasari oleh nilai akhlak dan etika pergerakan yang baik serta berkesan. Dalam hal ini jika mahasiswa masih berada di takuk lama, tanpa mahu merebut semua peluang meningkatkan diri secara agresif, sudah pasti mereka akan terus terpinggir dan dipinggir.

Kesimpulannya, ayuh mahasiswa ayuh, sama-sama kita realisasikan impian yang ingin kita bina selama ini dan teruskan pejuangan dalam mencari keredhaan Allah SWT walaupun dalam konteks mahasiswa hari ini yang penuh dengan tugasan akademik namun jangan dilupa fitrah sebenar kita diutuskan oleh Allah ke Dunia ini. Setiap ruang, yang kecil dan besar menunggu dan mengharapkan sumbangan umat Islam yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Tanah-tanah pusara dan tulang belulang yang reput di seluruh dunia menjadi saksi atas pengorbanan sekian banyak pejuang Islam yang tidak dikenali yang tidak pernah mendapat apa-apa bintang kehormatan duniawi yang fana. Jika perjuangan bukan kerana Allah, nescaya had dan usaha mereka menjadi sia-sia. Semoga kita semua menjadi mahasiswa yang proaktif dalam semua hal. Wallahu A’lam.

NIK AZRUL NIK KAMARUDIN,
MAHASISWA SAINS,
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

No comments:

Related Posts with Thumbnails