"MAHASISWA PENDIDIK, REALISASI VARSITI"



SUNGGUH AMANAH ITU BERAT 
~SEMOGA DIRI INI TERUS THABAT DAN TIDAK SEKALI-KALI FUTUR DI PERJALANAN DAKWAH~

Nik Azrul Nik Kamarudin
Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan
Majlis Perwakilan Pelajar 
UPSI



ISLAM DULU,KINI & SELAMANYA


hadis hari ini

fikir sejenak

pengalaman mengajar kedewasaan

UPSI di hatiku

Friday, July 2, 2010

MANUSIA ADA TANGGUNGJAWAB MEMAKMURKAN ALAM SEKITAR

ALLAH menciptakan alam ini serba sempurna untuk manusia tinggal dan menjalani kehidupan. Lihatlah indahnya panorama alam dilengkapi gunung-ganang, sungai, laut, tanah, tumbuhan dan ternakan yang dapat memenuhi keperluan manusia sebagai tanda kebesaran-Nya.

Namun, sejak sekian lama segala keindahan dan kedamaian alam semakin pudar serta dinodai satu persatu demi mengejar keduniaan mengikut hawa nafsu. Keadaan persekitaran alam sudah tidak seindah dulu kerana dicemari tangan-tangan manusia. Lihatlah keadaan sungai di negara kita. Penduduk yang tinggal berhampiran tidak bertanggungjawab membuang segala sampah-sarap hingga mencemarkan mutu kandungan air sungai serta menyebabkan air sungai tersekat.

Impaknya bukan saja kita manusia yang susah, segala spesies hidupan air sungai turut menerima kesan. Membuang kotoran dan sampah-sarap boleh dianggap perbuatan salah laku pemusnahan alam.Ingatlah amaran Allah dalam firman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.” (Surah al-A’raf: 56).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan perbuatan dilakukan oleh tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan (buruk) mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar.” (Surah al-Rum: 41).

Jelaslah aspek penjagaan alam sekitar termasuk memelihara kebersihan sungai penting dan perbuatan merosakkannya akan memberi impak negatif kepada manusia dan di sisi agama dikira perbuatan mungkar.
Maka tidak hairanlah apabila sikap segelintir masyarakat yang kurang peka terhadap kebersihan sungai menyebabkan kualiti air sungai tercemar. Buktinya, satu ketika dulu Sungai Kelang dan Sungai Gombak teruk tercemar memaksa pihak berwajib membelanjakan kos tinggi semata-mata memulihkan kembali sungai itu.

Sebagai manusia dikurniakan Allah dengan nikmat sungai yang air darinya digunakan untuk kehidupan, sewajarnya kita bersyukur dengan berusaha menjaga dan memelihara kebersihan, keindahan serta kualiti air sungai.Jangan jadikan tangan penyebab kemusnahan sungai. Membiarkan sungai dikotori dan dicemar bermakna kita merelakan satu anugerah Allah hilang begitu saja. Peranan manusia adalah untuk memakmurkan alam sekitar, termasuklah sungai.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dia menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurnya.” (Surah Hud: 61).Apakah kita sudah memakmurkan alam kerana yang sering dilihat manusia semakin banyak memusnahkan alam, membuang sisa pepejal, sampah dan najis sewenang-wenangnya ke dalam sungai.Peningkatan tahap kesedaran melalui pendidikan penting sebagai usaha memastikan sungai tetap terpelihara bukan untuk generasi hari ini tetapi juga akan datang supaya dapat mewarisi anugerah alam yang memberi manfaat kepada mereka.

Mendidik mengenai aspek penjagaan alam sekitar sebahagian daripada skop tanggungjawab pendidikan akhlak. Hal ini bertepatan pesanan Nabi yang bermaksud: “Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat Muslim.Papan tanda ‘Cintailah Sungai Kita’ bukan sekadar untuk dipandang tetapi perlu diterjemahkan dalam kehidupan melalui sikap menjaga sumber alam semula jadi dan menjamin kelangsungan pada masa akan datang.Jangan bersikap lepas tangan dan hanya menyerahkan kepada pihak berwajib dalam soal memelihara sungai. Semua perlu memikul rasa tanggungjawab memelihara sungai kerana berakhlak baik dengan alam sekitar, kesejahteraannya akan berkekalan.

Ini juga tanda manusia mensyukuri nikmat sungai. Oleh itu, ubah sikap supaya lebih menghargai sungai dan sumber alam lain.Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang membunuh seorang manusia dan membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barang siapa memelihara kehidupan manusia, maka seakan-akan dia memelihara kehidupan manusia seluruhnya.” (Surah Al-Maidah: 32)

No comments:

Related Posts with Thumbnails