"MAHASISWA PENDIDIK, REALISASI VARSITI"



SUNGGUH AMANAH ITU BERAT 
~SEMOGA DIRI INI TERUS THABAT DAN TIDAK SEKALI-KALI FUTUR DI PERJALANAN DAKWAH~

Nik Azrul Nik Kamarudin
Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan
Majlis Perwakilan Pelajar 
UPSI



ISLAM DULU,KINI & SELAMANYA


hadis hari ini

fikir sejenak

pengalaman mengajar kedewasaan

UPSI di hatiku

Friday, July 2, 2010

TAUBAT KEMUNCAK MUHASABAH


Muhasabah atau timbal balik atau post mortem adalah suatu istilah popular malah suatu agenda rutin terutama dalam dunia kedoktoran dan dunia korporat. Muhasabah dalam sebuah syarikat perniagaan lazimnya adalah untuk menilai kembali pencapaian keuntungan syarikat di samping merujuk kepada komentar para pengguna kepada produk atau perkhidmatan mereka di samping turut menilai keberkesanan strategi pemasaran yang telah digunapakai. Taubat dalam syarikat perniagaan mungkin merujuk kepada kekesalan terhadap pelbagai strategi dan keputusan yang tidak menguntungkan yang kemudian disusuli dengan strategi dan keputusan yang dikatakan lebih efektif dan efisien.


Dalam konteks individu, ramai orang telah bermuhasabah dan bertaubat. Bagaimanapun, banyak yang bukan kerana Allah tapi mungkin kerana wang dan kedudukan atau kerana etika dan norma yang lebih didasarkan kepada rasa malu kepada manusia. Ramai juga orang menyesal tak sudah (seperti dengan mengatakan: ‘taubat aku tak nak buat lagi’) apabila melakukan kesilapan di depan khalayak ramai. Ramai orang lebih malukan khalayak manusia yang hidup daripada berasa malu di hadapan khalayak manusia yang sudah mati (di Padang Mahsyar).

Sebab itu kalimat taubat harus dilihat sebagai suatu kalimat khusus dalam Islam sebagaimana ad-din, jihad dan lainnya. Taubat daripada konteks bahasa bermaksud ‘kembali kepada Allah’ yang punya konotasi dosa dan pahala, syurga dan neraka, juga hari penghisaban dan hari pembalasan – hari yang secara mutlak dikuasai dan dimiliki oleh Allah semata. Sehubungan itu, Imam ar-Raghib al-Ashfahani menerangkan: "Dalam istilah syara', taubat adalah meninggalkan dosa karena keburukannya, menyesali dosa yang telah dilakukan, berkeinginan kuat untuk tidak mengulanginya dan berusaha melakukan apa yang dapat diulangi (diganti). Jika keempat hal itu telah dipenuhi bererti syarat taubatnya telah sempurna."


Muhasabah dan taubat tidak dapat dipisahkan ibarat tiada taubat tanpa muhasabah. Muhasabah adalah perintis jalan kepada pintu taubat dan pintu rahmat. Muhasabah adalah amalan para salaf as-soleh sebagaimana kata-kata Umar al-Khattab r.a.: “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan, timbangilah diri kamu sebelum kamu ditimbangkan”. Hati yang telah sudi bermuhasabah bermakna telah sudi dan sanggup melapangkan dada dan merendahkan diri untuk mengaku kesilapan dan kesalahan diri sendiri samada di hadapan manusia apatah lagi di hadapan Allah. Taubat pula adalah puncak dan kemuncak muhasabah, sekaligus merupakan simbol rasa hamba yang hina dina lagi pasrah kepada Allah – yang tentunya sukar dilakukan oleh manusia-manusia ego.


Ego pula tidak sekali-kali dapat disatukan dengan taubat, lantaran ego mengandungi syirik kepada Allah – merendahkan Allah daripada sifat-sifat dan nama-nama Allah yang indah lagi mulia. Mana mungkin manusia ego sanggup merendahkan dirinya, bermuhasabah diri lalu bertaubat kepada Allah. Sebaliknya, mana mungkin Allah mengampuni dosa ego dan syirik kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan (dosa) seseorang jika dia mensyirikkan-Nya, dan Dia mengampuni dosa selain daripada itu." (an-Nisa’: 48).


Justeru, Allah Maha Adil untuk mengasihi dan menyayangi orang-orang yang bertaubat, yang memohon keampunan dan sering membersihkan diri. Juga Maha Adillah Allah untuk mengganjari syurga buat golongan yang bertaubat sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang berpuasa (atau mengembara menuntut ilmu), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh yang makruf dan melarang daripada yang mungkar, yang memelihara batasan-batasan Allah. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman itu (dengan syurga).” (at-Taubah: 112)

No comments:

Related Posts with Thumbnails