Assalamualaikum dan Salam Kebajikan..
Alhamdulillah, lautan kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurniaNya, kita dapat bersama-sama lagi untuk meneruskan pengajian di UPSI. Saya juga bersyukur kerana menjadi insan yang terpilih untuk terus menerajui Persatuan Mahasiswa Sains bagi sesi 09/10. Dikesempatan ini juga, saya ingin merakamkan sejambak penghargaan dan ucapan tahniah kepada pimpinan PMS sesi 08/09 kerana telah berjaya membawa PMS kepada sebuah organisasi yang terbaik di UPSI. Disamping menaruh kepercayaan dan telah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dalam usaha untuk terus membawa persatuan ini kearah dimensi yang lebih baik dimasa akan datang.
Selain itu, saya juga ingin mengucapkan Selamat Datang dan Selamat Kembali kepada semua mahasiswa dan mahasiswi UPSI terutamanya mahasiswa dan mahasiswi Sains (FST). Seperti yang kita ketahui, tujuan sesebuah persatuan ditubuhkan adalah untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya disamping menjadi medan untuk menimba pelbagai pengalaman dan ilmu. Begitulah juga dengan persatuan ini yang sentiasa mengutamakan kebajikan ahli-ahlinya yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Sains. Hal ini kerana, permuafakatan dan kerjasama yang kita pupuk ini akan membantu kita untuk berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar pada masa akan datang. Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Sungguh, orang-orang yang berbuat kebajikan akan minum dari gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur ( nama suatu mata air di Syurga yang airnya putih dan baunya sedap serta enak sekali rasanya).” AL-INSAN,5
Di samping itu, kemajuan teknologi masa kini juga telah membawa PMS untuk seiring mengikut arus kemodenan tersebut. Oleh itu, pelbagai medium seperti blog dan friendster PMS telah dihasilkan dalam usaha untuk menyampaikan pelbagai ilmu dan informasi kepada semua pihak terutamanya mahasiswa dan mahasiswi Sains UPSI. Akhir kalam, ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kepercayaan dan tunjuk ajar kepada saya. Kepercayaan dan amanah ini akan saya pikul dengan sebaik mungkin.
Sekian, wassalam..
NIK AZRUL NIK KAMARUDIN
Blog : azrul-al-muallim.blogspot.com
No comments:
Post a Comment